
Segalanya bermula apabila aku melawat Haslin di studionya pada dua minggu lepas. Ketika hendak pulang, baru aku tersedar bahawa aku tertinggal kamera DSLR canggih kau yang aku pinjam itu di studio Haslin. Jangan tanya macam mana aku boleh tertinggal kamera DSLR kau yang canggih itu. Tapi itulah takdir yang berlaku. Supaya aku dapat ceritakan kisah ini pada kau.
Kau kenalkan si Haslin tu? Pelukis fantasi gor yang melukis makhluk-makhluk aneh yang kelihatan seperti makhluk daripada cerita Tim Burton. Ya, makhluk Nightmare Before Christmas yang kurus keding seperti tidak cukup makan itu.
Dan ada juga lukisannya tentang makhluk seperti dalam anime-anime karya Hayao Miyazaki. Mungkin Spirited Away. Atau mungkin juga Puteri Mononoke. Entah apa tajuk, aku sudah lupa.
Ala. Kau tau kan Spirited Away? Yang macam Alice in Wonderland tapi lagi sedih. Yang pernah menang Oskar tu. Ah, balik nanti kau Google sendiri.
Jadi aku terpaksa berpatah balik ke studio Haslin. Padahal aku sudah dalam 10 minit perjalanan. Sepatutnya aku ikut saja pepatah orang-orang lama, jangan berpatah balik apabila dalam perjalanan. Pesanan orang-orang tua banyak hikmah rupanya. (Tetapi bab punggung kena bisul kalau duduk di atas bantal itu belum aku percaya sepenuhnya lagi.)
Tapi kau tahu kan aku, aku sangat amanah dalam kes pinjam-meminjam ini.
Jadi aku berpatah balik ke studio Haslin. Naik ke rumah kedai tiga tingkat itu. Studionya di tingkat 2.
Aku dapati pintu studio tidak berkunci. Aku tidak hairan sangat kenapa tidak berkunci, kerana dalam keadaan studio yang tungganglanggang begitu, aku kira tidak ada siapa yang ingin jenguk masuk ke dalam. (Psst… Jangan beritahu Haslin apa yang aku cerita ni
)
Aku memandang sekeliling. Mencari di mana tempat terakhir aku tinggalkan kamera DSLR kau yang canggih itu.
Tiba-tiba aku terdengar bunyi daripada kamar yang berkunci di sebelah kanan studio. Ah rasa kuriousiti itu tibatiba menjengah dan aku perlahan-lahan menuju ke kamar berkunci itu.
Dari celah-celah pintu aku mengintai.
Dan keadaan yang kulihat itu sungguh sureal seperti sebuah filem anime yang hidup bukan setakat di layar.
Makhluk-makhluk aneh keluar satu persatu daripada lukisan Haslin dan merangkak (aa.. kerana badan yang keding penuh tulang-tulang, tak dapat dipastikan sama ada merangkak atau dia berjalan) menuju ke kanvas kosong yang terletak di tengah-tengah bilik.
Apa yang kuceritakan ini pasti tak akan kaupercaya. Tetapi makhluk-mahluk ini menari pada rentak yang sangat perlahan, seperti mereka dalam keadaan trans. Seolah-olah melakukan suatu upacara ritual. Tidak dapat pula aku dengar muzik latarnya. Mungkin muzik itu dalam imaginasi mereka. Tetapi itulah yang mereka lakukan.
Menari. Pada rentak yang sangat perlahan.
Dan tiba-tiba salah seorang (seekor?) makhluk itu mengambil berus lukisan dan mula melukis.
Dan satu demi satu makhluk ini melukis pada kanvas yang kosong itu.
Ya. Pada saat itu aku sedar bahawa sebenarnya lukisan-lukisan Haslin ini dilukis oleh makhluk-makhluk aneh tersebut (Budak darjah enam pun boleh buat konklusi ini).
Dan selepas itu aku tidak tahu apa yang berlaku kerana sedar-sedar aku sudah berada dalam kereta memecut pulang.
Kalau kau tak percaya kataku, kau jenguklah ke pameran solo Haslin yang berlangsung sekarang ini.
Dan kau perhatikan dengan teliti, dengan dekat, dengan rapat makhluk-makhluk aneh pada lukisan Haslin itu.
Dan pada suatu ruang saat interval yang kau beruntung, kau dapat lihat makhluk ini akan mengerdipkan matanya. Kepada kau.
Ya. pergilah! Saksikan sendiri benar atau tidak cerita aku ini.
Dan sebab itu jugalah, sehingga sekarang aku tidak dapat pulangkan kamera DSLR kau yang canggih itu. Takut aku mahu ke studio Haslin lagi.
Sorry!