Arsip untuk ‘catatan bukan reviu’ Kategori

h1

Bukan seksis.

Agustus 24, 2009

Season baru The Closer sudah lama mula. Jadi sekarang mahu maraton siri ini minggu ini.

Dan drama ini antara yang aku suka sebab cara interogasi dan juga cara bagaimana twist cif Johnson selesaikan kes. Dan juga antara drama yang paparkan watak perempuan sebagai watak penyiasat yang utama. Yang juga juruselesai kes.

h1

Konserto Terakhir.

Juli 10, 2009

Foto: Din Dirann

Aku tetap aku dan alur hidup mu bukanlah aku
Guna hati akal dan fikiranku
Berbeza engkau dan juga aku
Dua hati yang tak mungkin bersatu
Adakah aku
Hanya boneka yang sering engkau mainkan

Yang dikawal oleh jari jarimu
Ku punya hati dan perasaan
Pernahkah engkau fikirkan
Cukup-cukuplah oh cukuplah
Guna hati akal dan fikiranmu
Berbeza engkau dan juga aku
Dua hati yang tak mungkin bersatu

Bebaskan… Ku ingin dilepaskan… Kita tidak sehaluan… (Ya Lan, permintaan kau sudah ditunaikan) Lirikata itu keluar bercantum dengan muzik dan berkepulkepul di ruang. Menjadi asap dan awan yang kedua sayu selepas awan sayu Sufian Abas.

Sekeliling dapat rasakan emosi syahdu Lan dalam suaranya semasa menyanyikan lagu ini. Lebih-lebih lagi apabila selesai, dia terus mendapatkan Taja dan memeluknya. Momen emosional. Yang pasti akan berputar rakaman visual ini setiap kali aku mendengar Lagu Untukmu. Lan telah bebaskan dirinya (atau dibebaskan?).

Ya. Lan MUH secdara ofisialnya telah keluar daripada bandnya MUH pada 5hb June 2009 di Hard Rock Cafe. Menamatkan segala spekulasi dan khabar angin. Tapi yang terdekat atau peminat arden tahu bahawa sudah tiba masanya.

Dan aku rasa mereka memberikan suatu persembahan terakhir sebagai sebuah kumpulan yang cukup gaya, mutu, keunggulan seperti Benson and Hedges! Mantap! (Walaupun aku rasa mereka patut buat di venue yang lebih besar, contohnya kat stadium!)

Tapi sayangnya sungguh ironi.

Dan pastinya momen MUH muncul bersama vokalis baru ditunggu-tunggu oleh peminat. Dan harap dapat memberi impak (walaupun sementara) seperti gabungan vokalis Soundgarden dan band Rage Against the Machine yang bergabung dan membentuk kumpulan Audioslave. Dinamiknya band baru ini telah mencipta muzik unik gabungan dua genre. (Keterujaan peminat muzik sementara saja kerana kumpulan hebat ini juga berpecah.)

Dan jika vokalis baru MUH ini individu yang berbakat baru, hal perbandingan di atas juga tidak diambil kira.

Dan Lan pula akan membentuk band lain yang diberi nama Azlan and the Typewriter. Gila skima indie nama tajuk band.

MUH ialah antara band terbaik bagi aku dan lagu-lagu Taja memang cukup rasa dan perisa. Selain daripada yang selalu terdengar di radio, tv dan juga drama bersiri, ada juga beberapa lagu lagi yang agak bagus tapi tidak menjadi juara carta mahupun juara Heavyweight.

MUH antara yang selalu temani aku ketika memandu di lebuh raya. Dan lagu yang paling aku gemar ialah lagu Pari-pari Bawah Angin, Hilang, Hanya Khayal dan Mahkota. Dan ya, lagu Hanya Khayal dan Mahkota bukan nyanyian Lan. Aku rasa Taja yang nyanyi. Dan kalau Taja yang jadi vokalis MUH pun aku lagi suka.

Ada yang kata, selepas ini tengok sama ada kekuatan MUH pada Lan atau pada MUH sendiri. Sama ada Lan boleh bergerak tanpa lagu-lagu Taja, atau sama ada ada vokalis lain yang boleh membawakan lagu Taja sebaik Lan.

Bagi aku, hanya thumbs up pada mereka kerana telah mewarna pelangi industri muzik tempatan yang kelabukelabu asap dulu. Dan semoga Lan dan MUH gembira dan selepas ini berjaya (walaupun aku rasa nak ketuk aje kepala diorang dua ni sebab aku suka kombinasi MUH ni).

Dan ketika kami berpusu-pusu keluar, awan kedua paling sayu tadi tiba-tiba merenjis embun dan memenuhi setiap gelas, setiap gambar di dinding, dan terpercik juga pada jaket-jaket brassband instrumentalis MUH. Dan Lan pula semakin lama semakin hilang dalam celah kepul-kepul awan sambil mulutnya masih terkumat kamit ~bebaskan bebaskan kuingin dilepaskan…

Tapi eh sebentar. Tiba-tiba ada seseorang yang memakai baju kelabu, sedikit gempal berambunt kerinting melaung dari sudut kanan pentas, ‘Aku rasa Bakri yang sebenarnya bawa taboo. Band yang dia join, mesti problem atau berpecah!’

Oopps. Tak sayang mulut betul mamat ni. Bakri session je lah.

h1

Laskar Pelangi: menarilah dan terus tertawa, walau dunia tak seindah surga, bersukurlah pada yang Kuasa, cinta kita di dunia selamanya.

Mei 19, 2009

Trailer Laskar Pelangi.

Filem yang diangkat daripada buku bagi aku tidak seharusnya serupa, dan bak kata Andrea, filem adaptasi seharusnya melengkapi bukunya, bukannya sebagai sebuah representasi. Pengarah yang bijak wajar menyelami watak daripada buku dan mengangkatnya ke filem dengan tambahan peristiwa yang tiada di dalam buku. Ada juga filem yang mengubah pengakhiran sesuatu cerita daripada buku contohnya seperti the Runaway Jury, tulisan Grisham. Imaginasi cerita daripada dalam buku biarlah kekal dalam fikiran dan membiarkan filem berbicara sendiri.

Bagi aku, filem ini sangat murni, naif dan membawa emosi yang vertikal. Sekalisekala ada juga direnjat dengan peristiwa yang bisa menyentuh emosi, baik tangisan mahupun sedikit ketawa kecil. Warnawarna filem ini mengingatkan aku pada filem Painted Veil. Dan sinematografi filem ini cukup bagus, menyelinap setiap keindahan desa dan pantai Pulau Belitong.

Gambar dari sini.

Sejujurnya dasar filem ini tentang pengalaman anak desa bersekolah, memasuki pertandingan, belajar tentang hidup dan bersatu dengan alam. Anakanak yang menjadi askar pada pelangi yang sebenarnya mempunyai lebih daripada ratusan warna! Dan bagaimana Ibu Muslimah dan Pak Harjo (?) tegar berjiwa tulus memberi pendidikan yang tidak bersifat materi kepada anakanak desa yang serba kekurangan tapi tetap mempunyai ilmu jiwa yang besar. Bekal yang cukup untuk mereka tempuh kehidupan yang sebenarnya tiada belas kasihan. Kehidupan yang kejam, kata Gie.

Dan bagus benar lakonan anakanak dalam filem ini. Para pelakon anak ini diambil dari kalangan warga Pulau Belitong itu sendiri. Maknanya ini pertama kali lakonan mereka di filem.

Gambar dari sini.

Naskhah hebat filem dan buku ini aku tujukan untuk Cikgu Faiz Juha, seorang pelukis hebat dan guru Seni Visual yang kini mendidik anakanak desa di sebuah pulau yang paling utara dalam peta Malaysia. Pulau yang terletak di utara Sabah, pulau yang kekurangan kemudahan ASAS. Asas itu bermaksud air, api dan bahkan nafas sekalipun. Berilah inspirasi kepada anak anak laskar pelangi itu. Jangan putus harap ya, Faiz.

faiz2Faiz bersama lukisan beliau.

Pulang sekejap beberapa bulan dahulu, Faiz berkesempatan bercerita tentang jerih payahnya di Pulau Banggi. Tahap maksima! Bagaimana kesukaran beliau untuk mendapatkan air yang bersih (setakat air keruh warna kuning itu satu kesyukuran) dan sumber elektrik yang hanya bergantung pada generator cuma.

Serta setiap kali bermain judi dengan nyawa apabila menaiki feri menempuh ombak. Dan makanan sama ada jagung atau ikan. Ditambah dengan anakanak yang tiada wawasan masa depan untuk menuntut ilmu kerana hidup mereka cuma di pulau, sudah ditetapkan dalam hati mereka meneruskan kesinambungan warisan keluarga menjadi nelayan. Marjinal di sana begitu luas jurangnya.

Dan guru-guru di sanalah sumber jendela untuk mereka melihat dunia luar. Oh tak lupa juga korupsi peringkat tertinggi berlaku di manamana (Ok ini cerita lain). Hampir beliau putus asa. Dan menurut ayatnya, Hampir gila aku!

Ketegaran dan kejayaan mengekalkan kewarasan Faiz menempuh semua ini  aku sanjungi dan hormati kerana aku tidak dapat bayangkan jika aku di tempat beliau. Kerana itulah dahulu aku ambil keputusan untuk tidak mahu mengajar anakanak kecil menengah kerana pasti jiwa aku tidak cukup kuat (seperti Ibu Muslimah) untuk melihat segala kekurangan, segala kedhaifan, segala kemurnian, segala kenakalan yang ada dalam lingkungan tersebut. Sedih. Dan kasihan amat.

faiz1Faiz di Pulau Banggi.

Selamat Hari Ketabahan Guru buat Cikgu Faiz dan semua pendidik terutama guru guru di Semenanjung yang ditugaskan ke luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak. Teruslah menari dan ketawa bersama anakanak kamu, walau duniamu tidak seindah syurga. Tugas yang diberi laksanakan dengan hemah. Kata pakcik Spiderman, kuasa yang hebat (sebagai pendidik) datang bersama tanggungjawab yang besar juga!

laskar pelangi
takkan terikat waktu
jangan berhenti mewarnai
jutaan mimpi di bumi

~Laskar Pelangi oleh Nidji

.

Aha. Gila serius entri kali ini.

h1

Sell out. But (not) sold out.

Mei 18, 2009

Wah. Tajuk bukan main PPSMI.

Info tentang Sell out.

Hampir satu dunia sudah tengok. Tak truly Malaysian lah kalau tidak tengok. Filem ini penuh dengan ciriciri Malaysianya. Hampirlah. Aku kira boleh jadi dokumentasi rakaman budaya untuk kajian makhluk asing yang buat crop circle 10 tahun lagi. Secara subteks tentang politik, sosial, dan pemikiran (?) rakyat Malaysia.

Ini minggu terakhir rasanya. Jadi kalau berkesempatan, tontonlah. Ataupun tunggu saja di Astro nanti. :P Lagipun pengarah dan pelakonnya kalian tak kenal kan?

Tapi secara peribadi bagi aku filem ini sinis dan penuh satira. Ketawa dalam panggung pun mahu kontrol sebab orang tak ramai, jadi kalau gelak kuatkuat, nampak sangat lah.  Yang paling menarik, tentang babak karaoke. Oh ya budaya orang Malaysia kan suka berkaraoke. Tapi babak karaoke ini bukan babak orang melakukan babak karaoke, tapi klip video karaoke itu sendiri. Dan lagu-lagu dalam filem ini juga sing-a-long. (mana mahu cari track nya eh?)

Dan dialognya memang genius. Perbualan manglish seharihari. Funny, seriously. Filem ini tak terlalu mencuba dan tak juga terlalu kurang rencahnya. Menarik lah untuk ditonton dan dihadam.

Tapi cukup sekadar di panggung wayang.

Hari ini sudah tiada kesan emosi.

h1

Kalau kaver tu tak KACIP lagi tak tahulah, aok!

April 22, 2009

Maklumat lanjut sila ke Sindiket Sol-jah.

“Cover oleh King of Kaver memang ‘kacip’!” ~ Jimi Mahmud.

“Oh ya, maklumat terkini yang kami terima drp unit SENJATAH – sehingga kini, masuk hari kedua, tidak sampai pun 24 jam – 50 naskhah telah terjual.” ~ Sinaganaga

“cuma nak kasitau, kalau kau lambat beli, dah habis, nyesal nanti.” ~ OP

“‘Kacip’ adalah sebuah buku yang patut dibeli. Baca tak baca belakang kira” – Jarviskoker

“Kalau lu tak kenal Pipiyapong, lu memang lemah pengetahuan am. Apa pun, buku teks mengenai legenda ini sudah keluar.” – Tok Rimau.

Ok.

Siapa nak tambah lagi quote?

h1

Antara Kambing Jantan yang Hilang Punca.

April 3, 2009

Semasa di Jogjakarta dulu, aku dan temanteman ~ Zul, Susanne dan Hada ~ sempat menonton bioskop. Tajuknya Kambing Jantan. Tidak. Kami tidak lah se-desperate itu untuk menonton kisah tentang kehidupan seekor kambing. Dan filem ini bukanlah juga menceritakan tentang binatang ternakan.

Kata U-wei Shaari, filem merupakan rakaman budaya sesebuah masyarakat. Ok. Aku tipu. Dia tak cakap macam tu. Tapi aku rasa mesti ada seseorang penggiat filem yang berfikiran sekurang-kurangnya begitu.

imej dari sini.

Kambing Jantan ialah filem ini berdasarkan kisah benar tentang penulis blog Kambing Jantan dot com iaitu Raditya Dika.

Raditya Dika gemar menulis blog tentang kisah hidupnya seharian. Tentang hubungannya dengan teman wanitanya, tentang kisah perjalanan hidupnya sebagai mahasiswa di Auustralia, dan bagaimana dia mengendalikan LDR. Tidak. Bukan Long Dick Reduction tapi Long Distance Relationship ya!

Agak lucu!

Filem itu dan juga pengalaman menonton bioskop di Jogjakarta. Berulang kali juga tayangannya berhenti. Kami terasa seperti Joni terlambat tiba untuk menukar reel filem kedua.

Ok. Tentang Raditya. Dilema beliau tentang tuntutan teman wanita yang ingin selalu bersama dan tentang kursus yang dia tidak minati di Australia. Dilema sama ada meneruskan pengajian ataupun melakukan apa yang dia minati, iaitu menulis!

(Ketika ini dia sempat menerbitkan blook bertajuk Kambing Jantan – blog yang dicetak dan dijadikan buku – dan hebatnya mendapat sambutan yang luar biasa dan menjadi bestseller. Ini juga merupakan permulaan budaya blook di Indonesia. Yang nyata blook ini seakan menjadi trend di sana.)

Dan saat terngiang ngiang di kepala tentang katakata seorang penjual kad kredit telefon berbangsa India iaitu Quality, not quantity!, maka dia ambil keputusan untuk memutuskan perhubungan dengan teman wanitanya dan memberitahu ibunya bahawa dia mahu berhenti belajar dan pulang ke Indonesia.

Di Indonesia, beliau bekerja di penerbit yang telah menerbitkan blooknya, iaitu Gramedia dan blooknya yang kedua telah dicetak dan juga mendapat sambutan hangat juga.

Kemudian, beliau telah menghasilkan skrip filem yang diarah oleh Rudi Soedjarwo (pengarah Adaapadengancinta) yang bertajuk Kambing Jantan ini, yang nyatanya dilakonkan sendiri oleh beliau. Wah. Apa lagi yang dia mahu? Sukses! Sukses!

Sekarang ini dia masih lagi menulis blog tapi telah ditukar alamatnya iaitu radityadika[dot]com. Ada salah satu entri yang dia telah memparodikan kempen Pemilu. Haha. Lawak.

Dan aku tidak sempat untuk membeli buku-buku (Ya. Telah banyak buku yang dia keluarkan) Raditya untuk melihat cara mereka menghasilkan blook atau bagaimana mereka membukukan penulisan di blog. Yang aku lihat sepintas lalu, mereka tidaklah menerbitkan blook dengan meniru bulat-bulat tetapi masih ada proses editing dan sebagainya dan juga ada bab-bab yang dikategorikan.


Dan aku harap bila Kacip bestseller, dan diangkat menjadi filem, Pipiyapong tidak akan hilang ingatan dan melupakan rakanrakan (sebab dah kaya raya dan jadi selebriti), dan terusnya tidak lagi menulis di blognya!

Oh. Dah terlewat. :P

h1

Taakul? F dengan capital letter.

Januari 18, 2009

Jumaat lepas, dua minggu lepas diadakan satu forum tentang Palestin. Tajuknya: NOT JUST ANOTHER WAR: MYTH AND REALITY IN OCCUPIED PALESTINE

Antara ahli panelnya ialah Dr Rosli,  Prof Gurdial, Hisham Rais dan Dr Farish Noor.

Ok.

Tahu benar tentang banyaknya forum diadakan tentang isu Gaza. Sekian lama. Walaupun begitu, aku tidak pernah menghadiri sebarang forum tentang isu ini. Tetapi yang ini ingin sangat aku pergi. Yang ini aku tertarik bukan kerana topiknya tapi lebih kepada panelnya iaitu Hisham Rais dan Dr Farish serta pihak penganjur. Bila lagi mahu lihat kerjasama tiga pihak ini ya, selain yang ini, untuk topik yang ini juga?

Hasilnya?

Memang menarik. Kalau aku bagai kain putih ke forum tersebut, pasti sudah tercalit warnawarna apabila sudahnya mendengar forum. Banyak membuka mata dan hati. Mendengar dari mulur mereka sendiri tentang isu Palestin ini sangat lain atau lebih puas, kiranya jika hanya sekadar google atau melihat dokumentari di televisyen atau youtube.

Dr Rosli membentangkan fakta sejarah tentang the so-called ‘negara’ Israel ini. Manakala Prof dari UM itu pula banyak memperkatakan tentang dari sudut undang undang peperangan.

Dan berkali kali Hisham Rais memberi penekanan, ya berkali kali bahawa isu ini sebenarnya bukan isu agama tapi isu penaklukan. Dan isunya bukan tentang Yahudi tapi tentang Zionis.

Dan berkali juga dia memberi penekanan bahawa terlebih dahulu tentangilah zionis secara lokal. Atau lebih tepat, tentangilah ‘zionis’ lokal ini. ‘Zionis’ yang ada di negara ini. Sifat sifat zionis katanya ada di negara ini iaitu merampas tanah, opres, agres, ISA. (Dengarnya ada sekumpulan ahli Parti Politik yang memprotes keluar dewan apabila Hisham memperkatakan tentang ini di sebuah forum Palestin di Pualu Pinang)

Ya. Hisham Rais sangat loud.

Selepas itu.

Dan menyangka bahawa Dr Farish cuma lagenda momokan golongan intelektual. Sebelum ini pun, hanya membaca tulisannya sahaja. Dan kali ini sudah mendengarnya. Sendiri. Ah. Jatuh cinta. Dan mata yang tadinya menahan kebil kantuk. Kini terasa boleh saja duduk ternganga mendengar bebelannya di depan. Ya. Sudah jatuh cinta.

Fasihnya dia!

Dan kata kunci Dr Farish ialah ‘common’ common sense. Ya. Ada pengulangan perkataan common di situ. Dan sanggahan hujahnya tentang pandangan liberalis. Oh, dulu aku fikir dia seorang liberal). Ya. Tentang alasan liberalis yang begitu mengambil jalan selamat dan lambat dalam membuat keputusan tentang sokongan yang diambil. Tentang membuat justifikasi tentang serangan Zionis dan yang paling ingat, katanya economic boycott is very powerful indeed. Europeans are very afraid of this boycott. Dan kalau kita mahu, buat saja. Relevannya pada diri sendiri.

Katanya lagi, biarpun selemah mana bom yang diberi Hamas tapi tidak lah boleh memberi justifikasi atas sebab dan alasan Zionis menyerang. (Perkara ini juga ditekan oleh pensyarah dari UM iaitu apabila ada tayangan video yang menunjukkan bom yang dihantar seolah olah dapat lah kiranya mengelak. Dan kiranya bom itupun cuma kesannya hanya suam suam kuku) Kerana katanya hak untuk melindungi dan membuat serang balas semestinya dibolehkan tapi bukanlah kiranya membuat alasan itu selepas mengambil dan merampas tanah orang lain.

Kurang lebih begitulah. Kan Daniyal?

Satu yang amat lucu baginya apabila penjajah tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam. Di tanah orang yang dijajah. Aku kira itu ironi. Jika ikut nada Adlin Aman – Kau rampas tanah orang, tidur dalam rumah orang yang kau rampas, pastu kau komplain pasal kau dan kucing kau tidak boleh tidur malam terganggu dengan bunyi bom, maka padanlah muka! F dengan capital letter dan middle finger!

Dan.

Dan malam itu sememang aku sudah jatuh cinta. Berkali kali. (Bukan dengan Hisham. Tapi dengan Dr Farish. :P )

Oh. Isu Palestin? Ok. Ok.

Dr Farish ada bincangkan selanjutnya di sini. Yalah. Tentang rasional boikot. Tentang rasional ketidakrasionalan liberalis. Dan tentang yang rasional lainlain juga.

h1

Seperti cuba meneka walaupun tahu jawapannya hanya ya atau tidak.

Januari 13, 2009

Sedikit catatan bukan reviu.

Kalau reviu itu dikatakan menulis tentang sinopsis cerita yang penuh dengan spoiler. Jadinya ya. Ini bukan reviu.

MALAIKAT MAUT: Arahan Bade Hj. Azmi

Dan rasanya jika ada penonton yang ketawa kecil sewaktu adegan serius atau sedih, filem itu agak malang kasihan. (Seperti masuk ke kelas lambat dan pengajaran sudah mula lebih 15 minit dan pelajar lain tepat memandang gerak geri kamu itulah. Serba tak kena.) Ok. Tidak relevan tapi mungkin berkaitan.

Dan, menyangka filem ini filem yang ada unsur unsur seram. Tidak juga. Subtle.

Dan mungkin filem seperti Bade yang terdahulu penuh subteks atau metafora. Mungkin juga.

Tapi yang ini terlalu mendesak atau berlumba-lumba untuk menyampaikan, makna atau mesej sehingga agaknya terlupa (atau terabaikan) pada cara penyampaian dan jalan cerita.

Dan mungkin, rasanya ini filem yang bagus bagi penggemar drama cerekarama yang setia berteleku depan televisyen setiap hari Sabtu jam 10 malam.

Ya. Ini seperti menonton sinopsis tiga drama cerekarama dalam satu filem.

Dan, seorang teman, sempat berbisik, adakah perlu untuk menyampaikan, mesej dalam penuh tragedi atau lara duka untuk mengajak audien merasa insaf?

Mungkin kalau kiblatnya Aristotle. Mungkin. Itupun tragedi untuk menggamit penonton turut sama berkerut dahi. Rantai sebab dan akibat. Kan Lea?

Tapi aku suka dengan cerita pertama. (Ya. Kadangkadang suka juga tonton drama cerekarama yang setia berteleku depan televisyen hari Sabtu jam 10 malam). Bukan pada keseluruhan jalan ceritanya tetapi pada kerja kamera dan juga mood dan ambience latar cerita pertama ini.

Suka mungkin juga kerana selepas 10 minit ya, wow, seperti dalam salah satu drama siri House Md. Ya lah. Episod dimana Dr House kemalangan (semasa menaiki bas juga) dan mengalami amnesia tak ingat tentang kemalangan itu tapi luar sedarnya masih tahu bahawa ada petunjuk tentang seseorang yang akan mati jika dia tidak bantu. Maka (secara luar sedarnya), seseorang ini sentiasa menghantui Dr House memberi petunjuk tentang siapakah dia dan sekali skala muncul dalam setiap mimpi atau luar sedar Dr House. Ya. Kalau begitu aku suka.

Dan ada juga adegan apabila tibatiba muncul babak seperti dalam Criminal Minds. Seperti kebanyakan permulaan cerita Criminal Minds dimana sekumpulan ejen ini akan ke kawasan tempat kejadian dan melihat suasana polis-polis, penyiasat, pemberita. Oh ya. Tidak lupa juga anjinganjing pengesan. Di sana juga.

Dan ya walaupun ratanya (teman-temanlah) tidak puas hati dengan lakonan si comel Lyana Jasmay, tapi aku tetap, wth, dia boleh saja terlepas walaupun watak stereotaip. Dia kan comel? (Zul, belanja ayam goreng!)

Dan sempat tertanyatanya mengapa mood setiap pelakon dalam cerita pertama ini sangat mellow. Ya. Hampir setiap.

Tapi bolehlah. Aku suka.

Dua buah cerita selepas itu sudah bercengkerama bercerekarama.

Tentang cerita kedua.
Dan aku rasa tidak perlulah terlalu redundan untuk menunjukkan kehedonan (gaya hidup bebas) lelaki orang putih? Mat saleh? Ok. Kita tahu ‘mat saleh’ minum arak. Ok kita tahu suka pesta seks. Ok kita tahu suka itu ini. Ok. Sekali dua aku rasa sudah cukup. Ya. Tahu. Sudah boleh menangkap ‘generalisasi’ terhadap bangsa Barat ini. Walaupun ada ‘orang putih’ yang tidak minum arak dan sangat religus, tapi hey, ‘orang putih’ kan sudah dicop begitu?

Dan rasanya jika si Farah mahu hidup bebas seperti itu, lelaki Melayu pun mampu beri. Ramai. Di Kuala Lumpur sana. Hey. Ini kan pasca moden.

Dan CGI itu? Ok tidak mahu komen lebihlebih kecuali adegan itu seperti menonton dokumentari tentang neraka.

Oh ya. Dan juga teknik flashback itu seperti. Seperti. Seperti. Seperti. Seperti ada nasi yang kita kunyah tidak hancur tapi terus telan dan tersekat di kerongkong. Ah. Apa apa ajalah.

Daya penarik cerita ketiga pula ialah Que.
Dan tatu di badannya.
Dan gig Black Metal.
Oh. Gig Black Metal macam tu rupanya. Barulah aku tahu kenapa pihak berkuasa tempatan sangat menentang keras Black Metal ini. Isy. Isy. Isy. (Adik-adik, jangan tiru di rumah)

Tapi seperti biasa. Filem Bade memang indah. Secara visual.
Mari kita tonton.

h1

Reminis 2008: Antara perempuan sundal yang histeria di bilik sulit.

Januari 4, 2009

Sedikit catatan pendek yang bukan reviu. Ulang lagi sekali. Yang bukan reviu. 3.

Ah. Aku bukannya tahu sangat tentang filem. Mahu diulas ulas. Atau dipulas pulas. Tapi yang pasti. Aku memang penggemarnya. Boleh maraton filem satu hari tanpa henti. Ya. Serius.

Dan aku tahu ini basi. Tapi, wth.

————————————–
HISTERIA
:
arahan James Lee.

Dan ini juga bukannya mahu cerita tentang teknikal, pra atau pasca produksi. Sebab pastinya James lebih tahu tentang itu. Kan.

Gambar diambil dari sini.

Ok. Tak berani. Walaupun pengalaman aku dalam dunia yang lagi satu itu agak banyak. Tapi aku tetap tak cukup berani. Dan aku tabik pada gadis gadis cantik dalam filem ini.

Situasi 1:
Kalau ternampak mayat penuh darah melimpah limpah dalam tandas, di asrama yang kosong, pada waktu malam. Tentunya bukan sekadar buka langkah seribu, malah kalau ada sayap, mahu aje terbang.

Dan tabik gadisgadis ini kerana sempat lagi bermesyuarat di tepi tandas bincang mahu buat apa tindakan seterusnya. Wow! Mantap keberanian.

Situasi 2:
Kalau tibatiba berjalan di tepi koridor di asrama dulu. Dan di tepinya semak yang tibatiba bergerak gerak. Akan buat tidak tahu (dan tidak berani walau untuk jelingan jelingan manja), walau jantung bagai dipam 100km sejam dan rasa bagai sesak nafas tapi masih tetap kontrol mimik muka. Dan langkah tibatiba laju sambil berharap ada orang yang juga lalu lalang.

Tapi yang ini sangat berani. Masih sempat ke semak dan mencaricari teman yang mahu berolok olok. Fikirnya.

Dan ada adegan yang buat aku mahu masuk ke bawah kerusi. Tidak. Bukan kerana takut. Tetapi kerana ingin mencari gulagula yang terjatuh.

Turn down filem ini hanya kerana makhluk yang grotesk itu. Hey! Kalau dikata hantu raya, dia menyerupai tuannya. Kalau dikata jembalang, kelibat jembalang selalunya terlalu kabur untuk dicerita kembali kecuali dengan penambahan cerita macam tok selampit. Ok. Mungkin aku kurang ada ciriciri mahu melihat aksi aksi yang gore. Itu abaikan.

Tapi aku suka twist cerita ini di akhir. Biarpun sudah dapat mengagaknya pada pertengahan jalan cerita.

Dan teman teman yang lain pula sangat (tidak) berpuas hati dengan mimik muka gadis gadis ini yang cukup bijak sembunyi emosi takut atau bagai ada tampalan botox. Ok. Pengecualian untuk si manis Liyana. Yang lain? Aduh. Ok. Mungkin juga pengecualian untuk Scha.

Tapi untuk bias, skripnya dan jalan cerita memang mantap! Hampir. (skrip asal oleh Amri. Ala. Amri yang itu.) Tapi ya Amri. Apa yang histeria dalam cerita ini? Er. Setahu aku, histeria itu berjangkit- dalam konteks penyakit Melayu lah.

———————————

Teater Monolog: SUNDAL
: karya pelajar ASWARA.

Kiranya Aku tidak tahu apa apa tentang teater. Dulu terlibat pun cuma di teknikal. Jelajah hingga Terengganu. Ya tetapi tetap kurang tahu apa apa.

Dan seterusnya menyangka set pentas yang bergabung dengan bahagian ruang penonton sangat genius! (seperti pentas catwalk. Bezanya pentas catwalk itu ada ‘pentasnya’. Yang ini, pentasnya cuma di bahagian ‘walk’ nya sahaja. (Mengapa tidak jadikan sahaja itu pentas?) Begitu genius hingga kami hanya perlu menggunakan deria dengar sahaja untuk menonton.

Sebenarnya sila semak kembali, ada set pentasnya dilantai, tapi tempat duduk penontonnya hendaklah seperti velodrom. Supaya tidaklah seperti kami yang beberapa kali terpaksa menelengkan kepala untuk melihat gerak aktres utama. Heh. Kami patut pilih barisan depan. Oh atau mungkin ini penilaian lontaran suara? Mungkin. Yang aku rasa monolog aktres ini bagai terteran teran suaranya.

Oh ya. Perempuan perempuan kabaret itu sangat sesuailah untuk watak kabaret murahan. Ya, sangat mantap casting! (ok. Ini hanya teater kawan kawan. Pemilihannya pun mungkin kawan kawan yang volunteer (atau paksa diri gedik). Ok aku tahu.)

Dan ada beberapa babak yang buat aku mahu masuk ke bawah kerusi. Tidak, bukan mahu sedih menangis berhiba. Tapi untuk mencari earplug aku yang jatuh.

Dan sehingga  balik masih tertanya tanya hubungan antara penari kabaret, dan tok bomoh moden yang berpakaian seperti lord of the rings itu.

Sebenarnya apa yang mahu diharap teater daripada pelajarpelajar yang membuat penilaian. Apa diharap padi seberang. Kan? Tahap ekspektasi perlu direndahkan. Tapi untuk tahap pelajar, rasanya ini sudah cukup. Cukuplah.

Dan aku suka juga teknik lampu dan layar itu. Wujudkan suatu ambience yang sangat sesuai dengan mood si sundal.

Oh ya. Lucu pula bila teman berbisik di akhir akhir teater. – Eh. Pelakon nya seorang sajakah??

Erm.

—————————-

Teater BILIK SULIT
: karya Hisham Rais

Tidak mahu ulas apa. Cuma semuanya lima bintang kejora! Terima kasih teman yang buat peneman dan bodigad.

Pelakonnya mantap. Keadaan dimana jantung kita dipicit berkala kala pada setiap gerak dan suara terlontar.

Dan ada beberapa babak yang buat aku mahu menyorok di bawah kerusi. Ya. Kerana suara suara yang bagai hujan menghirishiris gegendang telinga dan jiwa. Ah. Sangat mantap. Dan hampir saja aku terpeluk teman di sebelah. Kerana terjahan dan takutan kata dan suara. Dialog dan babak. Haha. Ya Ampun.

Serius ini. Bukan sinis.

Rugi siapa yang tidak menonton.

Dan kiranya aktor watak mangsa itu sangat bijak kerana di pentas, emosinya seperti menerkamnerkam. Suaranya di akhir seperti menerpa nerpa gegendang telinga dan jantung. Tetapi bila kami berbicara diluar, ah. Sangat comel dan suka tersengih sengih. Mantap kamu. Sangat penghayatan.

Ada juga Tokrimau berbisik, watak polis interogasi itu seperti Norman Hakim itu. Dalam Gerak khas. Tetapi watak keduanya sangat kontradik. Bukanlah seperti tipikal polis dalam Gerak khas. Tidak. Jauh sama sekali. Dan bila ku terjumpa diluar, takut dan mahu lari lari (Aku. Bukannya dia). Terbawa bawa interogasinya yang tanpa belas. Dia hanya tersengih sengih juga. Oh.

Dan persembahan abang Meor seperti selalu, sangat merdu dan menyayat. Mantap. (ok. Ada sedikit bias. Haha) tapi iyalah. Bijak. Muzik dan melodi yang spontan dan bijak.

Tapi kiranya. Aku kurang tahu apa apa pun.

Yang aku tahu. Ini baru drama. Ini baru teater. Dan ini barulah lakonan.

UPDATED: Lupa pula. Malam teater bilik sulit ini juga malam pinpoint SB SB yang hadir. Iyalah. Mesti mau hadir untuk tengok logik ataupun tidak lakonan. Kan?

h1

Diproteksi: {Armada = Kapal} + {Maya = Virtual} = Romantika)2

November 18, 2008

Tulisan ini dilindungi kata sandi. Untuk melihatnya mohon masukkan sandi Anda di bawah ini: