Arsip untuk ‘puisi prosa’ Kategori

h1

Ada. cinta. Pada setiap kali kauterbang ke arah matahari.

November 10, 2009

Ada cinta yang terang, ada cinta yang samar, ada cinta yang langsung tak nampak – Jo, Anak Halal.

Mari kita tambah:

Ada cinta yang hanya berkata-kata tetapi tidak bercakap.
Ada cinta yang hanya melihat tapi tidak nampak.
Ada cinta camouflage, bagai moth cokelat di atas daun kering.
Ada cinta yang mereput setiap hari.
Ada cinta yang semakin jauh.
Ada cinta yang nikmati sunyi, nikmati sepi.

Ada cinta yang durhaka murka
Ada cinta sadis penuh tragedi, agresi.
Ada cinta candu, dipandu melulu.
Ada cinta sempurna. Hampir. Hampir sempurna.
Ada cinta Ikarus bersayap, dimakan api.

Ada cinta obsesif kompulsif.
Ada cinta repulsif.
Ada cinta depresif.
Ada cinta dalam penafian.
Ada cinta lima tingkat pangsapuri.
Ada cinta popular, petik jari sepuluh kemari.
Ada cinta boomerang, berputar kembali setiap kali.

Ada cinta kanvas, impasto pada palitan sfumato.
Ada cinta konseptual.
Ada cinta kant,
Ada cinta kierkegard, tanpa soalnya mati, tetap tidak mahu hidup.
Ada cinta rakaman wayang. Penuh obskura.
Ada cinta yang mencari Tuhan. Dalam diri.
Ada cinta mengejar pelangi palsu, terlupa bunga-bunga di bumi.

Ada cinta yang bernafas inhale-exhale.
Ada cinta jiwanya zombie, memaksa diri untuk bangun setiap pagi.
Ada cinta yang hanya kasih, tanpa merah, tanpa darah.
Ada cinta yang digantung. Tanpa tali.
Ada cinta yang memandang sayu, pada cinta lain yang bisu.

Ada cinta yang materi, pateri pada keluli.
Ada cinta yang memuja pada bidadari plastik, narsistik.
Ada cinta yang tidak punya cinta, tidak punya rasa. Tawar.
Ada cinta hedon yang penuh gembira dan pesta ria.
Ada cinta talian, teknologi, teks mesej, dan tanpa haluan.

Ada cinta pada setiap sepakan penalti.
Ada cinta fantasi, terawang dan bersawang.
Ada cinta pada petikan celo, gitar, dan tiupan panflute.
Ada cinta dalam c minor, sumbang.
Ada cinta yang penuh sekarung dosa.
Ada cinta seguni penipuan.
Ada cinta yang penuh curang sedalam jurang.
Ada cinta yang berbagi.
Ada cinta terbahagi.
Ada cinta mati.

Dan ada cinta. Untuk kamu. Nikmati.

 

 

KEMASKINI dari temanteman dan pembaca. (Wah kita boleh bagi sama Sang Freud Press untuk buat buku frasa poket ni.)

  1. ada cinta semanis masam air ribena! – aishah

  2. Ada cinta yang sengaja diada-adakan…

    Pelesu tu…- Nizam.ariff

  3. yang pasti, semua cinta pasti ada derita, kecuali cinta pada-Nya. – ilisyazwani

  4. Untuk cinta, aku hilang dalam realiti. Terbang dalam fana. Dan kosmos pun bergegar! Goncang! Ya. Seluruhnya! – Terompahkayu

  5. cinta pelangi.
    bila ada hidup warna warni

    bila tak ada jadi rindu dan sunyi – pisey

  6. ada ‘cinta sabun mandi’. hari2 boleh nyanyi. ha ha – rahimin idris

  7. ada cinta macam fake plastic tree. – rembo

  8. cinta mongolia kena bom. – bainun

h1

Teaser.

Juli 15, 2009

Pujangga tua berbisik
tragedi menyatukan cinta.

Dan kini aku berdiri
di tengahtengah rel tren.

Menanti tragedi.

h1

Jika Saharil sudah kata kau genit, maka kau patut sudah mula kuruskan badan. :P

April 30, 2009

Eeek! Boom! Bunyi apa tu? Ada kemalangan jalan raya lah! Langgar lari. Siapa mangsa? Bahasa. Bahasa Malaysia.

Lebuhraya Persekutuan.
26 April 2009.

.

One plus one equals zero. Ok. Anak kecil itu ulangulang sama aku. One plus one equals zero. katanya lagi. Bukan. salah! Kemudian dia sambung. One politician plus one politician equals zero brain.

Oh, pandai rupanya anak generasi PPSMI ini! Jadi siapa kata PPSMI tidak berjaya?

Subang Jaya.
25 April 2009.

(Dibacakan pertama kali di Pentas 152, 26 April ~ juga sambutan lahir. Takut juga aku jika Saudara Shamsul, Ketua AMK baling kasut pada aku bila aku baca One plus one itu!)

.

.

Dan oh tidak pasti sebenarnya stand aku dalam PPSMI.

Tidak lah menyokong. Dan tidak pula menentang. Dan tidak lah pula berada di tengah tengah. Aku tidak punya anak yang terseksa memahami. Aku pun bukannya dalam bidang yang menjadikan subjek Sains dan Matematik sebagai rumus utama.

Golput kata, tidak memilih itu juga satu pilihan. Tapi bagaimana jika memilih untuk memilih dan untuk tidak memilih. Ok. Ekuasi potong-potong. Ya aku tahu.

Dan sedikit keliru sebenarnya apabila ramai yang berbahasa Inggeris dengan aku dan aku syak mungkin mereka menyangka aku ini perempuan Inggeris atau setidaknya perempuan beraliran Inggeris walaupun berkalikali aku menjawab dalam bahasa Malaysia penuh. Dan itupun tidak apa. Tidak apaapa pun pada aku.

Tetapi ini sesuatu yang merungsingkan kerana aku pendidik. Mungkin bukan guru bahasa seperti Teacher Wani, tapi aku ada anak anak seni terpilih yang perlu dihalakan kompas mereka untuk mebangunkan kreativiti dan jati diri dalam menghadapi arus globalisasi negara.

Ok. Sebenarnya tak perlu pun. Itu cakap-cakap orang akademik. Cakap-cakap politik. Anakanak seni ini sebenarnya ada akal. Ada doktrin mereka sendiri. Tapi terhad atau terhalang kerana ada akta yang entah apa apa tu. Buat mereka jumud. Buat mereka bisu.

Ok. Sudah. Itu bukan poin utama.

Kalau ditanyakan, aku akan jawab, ajar Matematik dalam bahasa Mandarin. Sains dalam bahasa Rusia (Atau Arab. Atau Yunani. Kata Saharil dalam Teroris Bahasa, perkataan Algebra itu pun asalnya dalam bahasa Arab. Itu aku rasa semua tahu). Sejarah dalam bahasa Tamil. Seni Lukis dalam bahasa Seni. Bahasa Seni, ok. Bukannya jargon yang pelikpelik.

Dan lihatlah kebanyakannya rujukan bukubuku anakanak seni terpilih di sini dalam bahasa Inggeris. Itu boleh dimaafkan jika penerbitnya berpangkalan di negara yang bertutur dalam bahasa inggeris.

Tapi, jika hatta katalog pameran lukisan di Malaysia sekali pun dalam bahasa Inggeris, macamana nih babe? Bak kata Sinaganaga, lu ada lighter?

Dan sebenarnya kebanyakan tulisantulisan di sini pun penuh kesalahan tatabahasa.

Ok. Diam sudah.

h1

Pada hari aku bertemu Yusuf, makhluk Tuhan paling kacak.

April 17, 2009

pascablake

h1

Yang hampir ada dalam perempuan simpanan. Dan yang sudah jadi c(p)rime s(m)inister of golden land. Dan yang akan jadi kuda tunggangan kepang esok hari.

April 6, 2009

alina0

Kredit foto: Yanniz
Teks dan lakaran: Alina

h1

Pada ketikanya satu saat sebentar yang agak dingin. Di ruang penuh kotabuku. Kotabuku ambiens lampunya merah suram.

Maret 2, 2009

Semalam kudengar bisik kamu
buatku imbau
momenmomen curi
kamu. Mobil hitam
dan aku. Penumpang
berpeluh dalam panas terik
sesat mencari galeria artiseni di atas bukit
dan kemudiannya pula
berlari di dalam rintik hujan
dengan payung yang satu itu. Ya. Hanya satu.
Lecaklecak dan lopak air.  Lencun
panas-hujan. Lucu.

Buat kuimbau
bersama mobil hitam. Ya. Juga yang itu.
jelajah estet bertanamerah
arahnya rawat-rehat
di tepi lebuhraya penuh kayu merahbata-coklat
sambil kepala pusing
tentang ujianujian dunia
tanda aras masa depan yang kitakait

buat kuimbau
lakaran dan warnawarna kamu
untuk ku bentang
tulisan dan bebelanku
untuk kamu tentang
dan kamu guna
buat gulagula

buat kuimbau
tentang nasigoreng-nescafe (oh semestinya berais),
mamak-studio-muse~oh ya yang kita berlagak semicool dengan lagak serba hitam
tentang plato-croce-pop-konseptual-
method-freud-abstrak berwarna merah-hitam-
dari-a-ke-b-ke-empat-ke-selatan-dari-utara.

yang baru kutahu
semua itu, semua di atas itu
hanya tangga untuk kamu
selesa narsistik
selfish
dan sesungguhnya plastik

buat kuimbau
saat kamu rampas emosi merah
darah hati
aku punya itu
walau sedikit kau hempas
pecah.
Ber-
der-
aiderai.
.

h1

Aku binatang jalang.

November 25, 2008

Jika hidup ini perjudian. Maka kita semua berdosa.

Jika perempuan itu nafsu. Maka aku sudah berjaya goda orang alim.

Jika pelangi itu indah. Maka warna adalah kebisingan yang senyap.

Jika manusia itu binatang. Maka ibubapa ini binatang paling hina.

Jika dunia ini pentas. Maka Emelie ada dalam setiap kita.

Jika bulan itu dekat. Maka tidak perlu lagi pungguk menunggu.

Jika dunia ini dilipat. Maka tidak perlu lagi kita terbang.

Jika kota itu kaca. Maka jerit kamu telah memecahkan dindingnya. Dan serpihan itu terkena aku.

Maka sayang. Hidup ini percaturan. Dan Bobby Fischer ialah kamu. Gerakkan bidak-bidak dengan bijak. Dan memintalah. Dia pasti tunai. Jangan kusut.

.

[Nota ranting: Merujuk yang nombor empat. Aku rasa mahu kembali ke zaman lampau dan culik bayi ini waktu dia lahir. Sedih.]

h1

Let your heart feel for the afflictions and distress of everyone. – George Washington

Oktober 14, 2008

Oleh sebab bulan ini ialah Bulan Bahasa Inggeris di blog ini, jadi anda diminta untuk membaca puisi prosa (yang nak macam haiku tapi bukan) di bawah dalam bahasa Inggeris. Ya. Sila terjemahkan sendiri. Mari kita martabatkan bahasa Inggeris. Siapa lagi kalau bukan kita, rakyat Malaysia! Oh ya. Sila terjemahkan arahan ini dalam Bahasa Inggeris juga. Ini generasi D.I.Y, bukan.

.

.

Aku tidak suka pada kamu yang buat aku duka.

Aku suka gembira. Aku suka pada suka.
Aku suka bersuka-suka.
Dan aku suka. Gelak ketawa.
Jadi. Bila kamu buat aku duka.
Aku tidak suka. Aku jadi duka.

.

Tolong pergi jauh.

h1

//aku tak mahu taj mahal. taj mahal itu makam. kau mahu aku mati cepatkah?

September 10, 2008

berikan aku istana alhambra yang usang

kekasihku lari ke kota kaca dan menjadi wanita. dia memakai celak hitam dan maskara tebal.
di lorong-lorong dia masih bersayu berdendang. sadis.
kekasihku mencebik merajuk dan menjadi robot kasa.
dia menolak ku jatuh tapi masih menyimpan namaku di diari usangnya.

aku terjumpa seorang pemuda minda urban kontemporari. sering meneguk arak di tangan kanan dan berfalsafah ditutur. aku dan dia bulat. aku ketawa. aku bertanya, mahukah menjadi kekasihku? dia hanya menggeleng bangga dan menjeling perawan lain. kemudian aku menangis. aku sudah menghilangkan namanya tapi dia masih mengikat tali di tanganku. rimas.

kekasihku terjumpa sepasang sayap dan berlari mengelilingi kubus.
dia terdengar suara hatif dan pulang menjadi seorang darwis.
kekasihku adalah kekasih lama. dan dia masih berpegang pada akadnya. katanya, tunggulah.
dan kini aku masih menunggu di lorong suwer. cinta sudah tiada.

-lebuhraya utara selatan, 2007.

.

.

ini adalah antara sajak prosa aku yang bertimbun-timbun. yang tidak pernah diterbitkan dimanamana sekalipun. dulu aku ada juga hantar ke akhbar. tapi mungkin sajak aku ini banyak merepek. maka tidak lah ada yang terbit. di itm dulu ada lah tiga koleksi bersama. tapi bukan di pasaran terbuka. huhu. sejak dari itu, aku hanya simpan saja. dan syok sendiri. tapi ada juga beberapa yang telah menjadi lirik lagu. tidak. bukan lagu mainstream. lagu-lagu itu juga alami nasib yang sama dengan sajak. tersimpan bersawang. aku rasa taboo.

taj mahal ialah antara binaan seni Islam yang terindah. dan mungkin antara seni bina terindah dunia. cif arkiteknya, ustaz isa bijak mengatur dan merangka. tapi yang ironinya, shah jahan hanya mampu melihat dari menara penjara. dipenjarakan oleh anak beliau sendiri.

nanti akan aku ceritakan kehebatan binaan taj mahal.

gambar di atas pula ialah lukisan aku yang tidak siap.

h1

Tsunami

Juni 20, 2008

Dulu, aku ada menulis beberapa lirik untuk 2 buah band muzik yang tak berapa nak dikenali (but very talented). Salah satunya ialah Lagu yang bertajuk “Tsunami”.

Yang ni petikan lirik itu:

Tsunami

Pada bumi yang mengalir darah
Pada unggas yang menjerit parah
Pada hutan yang menjadi api
Pada hujan yang bertukar warna

Oh Dunia kemana arahmu
Oh Dunia mengapa begitu
Oh Dunia kaburkah pandanganmu
Oh Dunia apakah maumu

….

Lirik: hegira
Lagu: summergreen/the exilers

Lagu ni the exilers nyanyi pada pertandingan Blastoff 2 yang derang sertai pada tahun 2005.
Disebabkan ramai penonton berbangsa “Eropah”, maka lirik ni dialihbahasa ke English waktu derang mainkan di final blast off 2.

The Exilers menang nombor 2.

Agaknya derang kena sumpahan Naib Johan, sebab banyak bulan lepas tu, band ni berpecah.

Sebahagiannya ke sini.

Sebahagian lagi ke sana.

Yang lainnya, ke sana dan ke sini.

Tapi semuanya sempat merasai keglameran tempat Naib Juara. haha.

Apaapa pun, semoga berjaya untuk mereka-mereka.

Yang anehnya bagi kami, lagu ini dicipta sebulan sebelum kejadian tsunami yang melanda sebahagian Asia pada December 26, 2004.