Arsip untuk ‘cereka-esei’ Kategori

h1

Pada hari aku malas senyum dan ubah kontrak sosial.

Juli 22, 2009

Hari itu aku malas mahu senyum. Dan petisuara pula tertinggal di bilik kecil, yang letaknya sejauh 55 km.

Jadi aku batal semua temujanji dan rancangan mahu bersosial dan bertemu makhluk-makhluk Tuhan.

Aku batalkan ajakan sekumpulan Dewa 19 untuk tonton aksi Setan Merah di stadium. Kalau mahu ikut mereka, kena punya petisuara saiz bass atau tenor.

Aku batalkan juga ke Lepaq Café untuk tonton Kelkatu menyanyi. Kerana apabila di sana, aku perlu untuk sentiasa senyum dan bertegur-teguran. Di sana pasti ada Pepatung, Kelip-kelip, Unikon dan Unggas Dewata. Oh dengarnya, lalat juga ada di sana. Jadi, takkan aku mahu bisu dan bermasam muka dengan sekumpulan mahkluk rimba yang comel? Sangat tidak manis.

Aku batalkan pula untuk ke perasmian pameran lukisan di Bangsar. Oleh Razlan the Centaurs dan teman-temannya. Malas aku mahu senyum dan mengiakan segala kata percakapan  Orcs, Gargoyles, Garuda dan Pegasus yang khabarnya pasti hadir. Tahulah kan, mereka ini golongan intelektual. Kalau aku diam saja tanpa menyanggah apa-apa, pasti kena cop dangkal dan jumud.

Aku juga tak mahu jadi salah seorang statistik Baudrillard. Dia kata, masyarakat sekarang lebih suka duduk tonton televisyen daripada terlibat dalam gerakan politik atau sosial. The death of social, katanya.

Lalu aku mesej teks teman baikku, Nymph yang tinggal di tempat sunyi di atas bukit. Ajak dia gembirakan aku untuk malam itu. Nymph adalah antara temanku yang berpaksi minimal dan paling Switzerland.  Tidak suka ke acara-acara serius mahupun pesta mudamudi atau Frinjan. Kalau dia bertemu Ruhayat, aku jamin pasti Ruhayat akan berkata, Eh, kawan u tu anti-sosial eh?

Sebagai rekod, aku punya ramai teman rapat sebegini. Jangankan ber-facebook, YM pun mereka tidak ada. Ya serius. Ada golongan makhluk begini. Jika bersama mereka, janganlah bercerita dunia blogger, atau apa-apa saja tentang masalah dunia. Pasti dapat pokerface. Blog ini pun mereka tidak pernah singgah. Aku pun tidak mahu paksa. Biar mereka dengan lembah remot mereka.

Aku suka begitu.

Jadi kami ke Piramid. Yang di Sunway, bukannya di Mesir atau Las Vegas itu. Mahu tonton sekumpulan kenderaan bertukar menjadi Robot yang gagah perkasa. Dan boleh mengeluarkan airmata. Dengarnya, Pipiyapong pun ada pelihara robot ini. Aku pernah lihat. Walaupun robot peliharaannya itu punya tempat duduk fleksibel yang boleh dicabut-keluar-pasang-siap, tidak punya rangka cermin, dan pintunya tidak punya sebarang alas, tapi percayalah, pabila bertukar jadi robot, dia akan menjadi robot yang paling cool.

Ini adalah hari dimana aku batal semua temujanji dan rancangan mahu bersosial dan bertemu makhluk-makhluk Tuhan.

Dan setengah jam sebelum tayangan tamat, temanku Nymphs sudah terlena di sebelah. Tiba-tiba aku tergelak kecil.

h1

Lan MUH ulangulang nyanyi~ milk in a bottle!

Maret 31, 2009

Pada hari ini Tuhan berjenaka dengan aku. Ataupun marah. Aku kurang pasti dan simpan kontradiksi dalam hati. Sebab aku sudah mabuk dengan asap yang penuh dalam kepala. Berkepul. Dan kafein yang melimpah dalam esofagus.

Kata Rumi, wajah rona merah mampu jadi pucat dengan hanya torehan satu duri.

Dan pada ketika ini, ada lelaki yang ukir epitaf suami curang pada batu, ada isteri yang ingin berkata pada dunia bahawa: cukuplah, cukuplah diammu! Dan ada anak pada setiap langkahnya malaikat turut menyumpah. Ada jiwa yang terseksa. Dan revolusionis yang berulangulang kali pendam cinta dalam hati.

Ada si pengasihani rambut afro yang selesema, ada si manis yang menangis sambil dengar Estrella berulang kali pada jaring speaker warna hitam. Juga gadis-gadis hip bermain buih dan sabun sambil mengira untung nasib dunia.

Dan seorang konsepsualis menunggu gadis yang tidak muncul, sambil memandang alun air pada kolam dan tunggu tumbuh pohon. Dan warna pada kanvas itu perlahan-lahan mengeras.

Oh wth.

Ya. Aku hampir pasti. Tuhan berjenaka dengan aku. Dan beri aku 0.00001 rasa itu yang sedikit tapi beri kesan. Dan katakata kamu itu perlahan-lahan bertukar menjadi duri.

h1

//kin, tak payahlah ke Bandung. Kita gi Taiwan ya? Bak kata gadis gadis dalam dunia vovin, Taiwan is so in right now! Totally!

September 16, 2008

cereka-esei separa fiksi di warung kopi (bahagian satu).

.

.

- Kau tau tak, ketuanan Melayu sedang digugat skrg?
- Melayu siapa? Kau atau aku?, kataku merenung matanya.

Namron merengus. Dia ialah contoh ultra Melayu celup yang kononnya berjati diri. Dan tanpa sedar agungkan dogma urban liberalis pascamoden Dan neneknya datang dari Sumatera. Ya. Kebanyakan yang mengaku Melayu di sini berusulkan sama ada jawa dari Indonesia, Yunan, atau mamak.

Di Indonesia, sukar untuk kenal pasti sama ada berbangsa cina, jawa, mahupun Melayu. Gagasan Binneka Tunggal Ika yang dibuat oleh Pak Sukarno telah berjaya menyatukan dan membangsakan Indonesia. Binneka Tunggal Ika bermaksud kesatuan dalam kepelbagaian. Lihat sahaja pada Bahasa mereka. Mereka telah terbuka terhadap apa yang kita katakan pelacuran Bahasa.

- Kalau kerajaan bertukar, Melayu akan terpinggir. Kau tengok contoh kat Pulau Pinang. Bila diorang ambil alih, Melayu semakin susah di sana, kata Namron sambil menyalakan Dunhilnya.

- Ok encik Melayu tulen. Sebelum mereka ambil alih, melayukah pemerintah di sana? Melayu daripada dahulu lagi sudah terjerat di sana. Jangan nak letak label scapegoat pada orang lain.

Frasa kesatuan dalam kepelbagaian ini juga digunakan oleh seorang orientalis Barat bernama Richard Ettinghausen untuk menggambarkan tentang kesenian Islam. Beliau kata, seni Islam sangat fleksibel sebenarnya. Seni Islam menyerap budaya setempat. Seni Islam tidak pernah bersifat perkauman ataupun ras. Contohnya senibina masjid. Di china, berbentuk pagoda. Di nusantara, berbentuk bumbang limas. Di Timur Tengah pula, binaan masjid dipengaruhi senibina Seljuk.

- Kau cakap tak ada bukti. Selama ini pemimpin kita nak tolong bangsa Melayu. Pemimpin kita sentiasa bertunjang ketuanan itu. Melayu yang tak nak bersyukur.

- Ketuanan apa kalau the so called Tuan itu menjual tanah air sendiri. Kau nak bertuankan golongan macam tu? Kau tengok di Pulau Pinang saja. tapi di Johor bagaimana? Siapa dia hulubalang di Johor?

Tadi adakah aku berkata bahawa senibina Islam menyerap budaya tempatan? Itu tidak berlaku di Malaysia. Malaysia tidak mengekalkan identiti nusantara dan menceduk bumbung bawang daripada Empayar Mughal di India. Antara masjid lama yang masih mengekalkan dan terpelihara senibina nusantara ialah Masjid Tengkera di Melaka dan Masjid Kampung Laut di Kelantan. Praktikalnya bumbung limas itu kerana adaptasi dengan iklim negara ini iaitu hujan sepanjang tahun dan juga panas. Amat fungsional. Dan itu belum lagi kusentuh tentang senibina campuran di Putrajaya.

- Kau tau tak Melayu dah banyak berpecah sekarang? Tak bersatu? Sementara bangsa lain semakin kuat? Sepatutnya, kita hendaklah beraja di Negara sendiri, kata Namron sambil hembus asap rokok.

Asapnya berkepul kepul ke udara. Mengapung. Aku terbatuk. Dan mengibas tangan. Seperti biasa sindiran halus ku tidak dibuat peduli oleh perokok tegar sepertinya. Bukan tidak mahu, cuma mungkin dia ingin menegakkan imej tegarnya. Mengikut statistik, perokok pasif lebih berisiko daripada perokok aktif. Itu fakta. Tetapi bentangkanlah statistik mana pun tentang keburukan merokok, namun tetap kalis kepada perokok yang setia merokok. Itu lah ketabahan seorang perokok. Tetap mereka harungi untuk terus menjadi perokok. Ya, dan mereka juga mempunyai secret pack. Persatuan perokok rahsia.

Dan ya. aku tahu rokok itu perlu bagi seorang yang artis kreatif sepertinya. Rokok itulah sumber idea dan inspirasi.

- kenapa sekarang mereka pertikai pasal benda ni. Dari dulu lagi quid pro quo. Kita ada sosial kontrak untuk elak 13 Mei berulang lagi, sambung Namron lagi.

- Aku rasa kalau kita lebih daulatkan ketuanan rakyat, ketuanan Islam, benda ni langsung tak akan dibangkitkan.

Dalam novel The Runaway Jury oleh Grisham, syarikat rokok disaman kerana menyebabkan kanser dan kematian (pada yang gemar akan filemnya, Runaway Jury lakonan John Cusack). Ok. Dan kes itu ditanggung oleh fund yang disalurkan oleh 4 gergasi syarikat tembakau. Dan juga menceritakan bagaimana juri boleh dimanipulasikan. Di Malaysia setakat ini belum ada lagi lagi yang menyaman syarikat tembakau. Cuma ada satu syarikat tembakau yang menyaman kastam kerana menahan barangan mereka di pelabuhan.

Mungkin kerana Malaysia tidak memakai sistem juri. Tetapi, tentang hakim yang dimanipulasikan? Tidak mahu aku ulas dengan lanjut.

.

.

(bersambung)

.

.

notakaki: gambar di atas ialah hasil kreatif ian ahmad. subjeknya sebuah kopitiam di kelang.