h1

Misi mencari Sukab.

November 18, 2009

Selepas sedikit kacau dengan banyak acara, ke sana kemari, aku ambil 4 hari untuk menghilang. Aku berkontemplasi dan mencari akal. Tempat isolasi ini tiada akses web. Cuma sesekali ke restoran mamak berdekatan untuk hantar emel.

Cuaca pula memahami dan matahari hanya mucul sekalisekala.

Namun akal dan minda aku begitu lambat untuk mula berfikir. Tempoh 4 hari ini nyata tidak cukup untuk habiskan tulisan. Pernyataan masalahnya sudah ada, cuma mahu susun perenggan dan cantum puzzle pada tulisan-tulisan yang aku conteng di sana sini. Aku pun sudah sesat jauh daripada tajuk asal.

Ditambahnya dengan manusia gila di seberang bilik yang bila-bila masa saja tampak seperti mahu menyerbu dan menikam aku.

Dan aku hanya mampu memandang kertas berteks yang semakin lama semakin bertukar menjadi lukisan dan contengan psikedelik. Dan skrin komputer yang semakin lama bergerak seperti ril filem.

Ya. Aku fikir aku sudah menjadi orang bodoh yang merindu.

h1

Ada. cinta. Pada setiap kali kauterbang ke arah matahari.

November 10, 2009

Ada cinta yang terang, ada cinta yang samar, ada cinta yang langsung tak nampak – Jo, Anak Halal.

Mari kita tambah:

Ada cinta yang hanya berkata-kata tetapi tidak bercakap.
Ada cinta yang hanya melihat tapi tidak nampak.
Ada cinta camouflage, bagai moth cokelat di atas daun kering.
Ada cinta yang mereput setiap hari.
Ada cinta yang semakin jauh.
Ada cinta yang nikmati sunyi, nikmati sepi.

Ada cinta yang durhaka murka
Ada cinta sadis penuh tragedi, agresi.
Ada cinta candu, dipandu melulu.
Ada cinta sempurna. Hampir. Hampir sempurna.
Ada cinta Ikarus bersayap, dimakan api.

Ada cinta obsesif kompulsif.
Ada cinta repulsif.
Ada cinta depresif.
Ada cinta dalam penafian.
Ada cinta lima tingkat pangsapuri.
Ada cinta popular, petik jari sepuluh kemari.
Ada cinta boomerang, berputar kembali setiap kali.

Ada cinta kanvas, impasto pada palitan sfumato.
Ada cinta konseptual.
Ada cinta kant,
Ada cinta kierkegard, tanpa soalnya mati, tetap tidak mahu hidup.
Ada cinta rakaman wayang. Penuh obskura.
Ada cinta yang mencari Tuhan. Dalam diri.
Ada cinta mengejar pelangi palsu, terlupa bunga-bunga di bumi.

Ada cinta yang bernafas inhale-exhale.
Ada cinta jiwanya zombie, memaksa diri untuk bangun setiap pagi.
Ada cinta yang hanya kasih, tanpa merah, tanpa darah.
Ada cinta yang digantung. Tanpa tali.
Ada cinta yang memandang sayu, pada cinta lain yang bisu.

Ada cinta yang materi, pateri pada keluli.
Ada cinta yang memuja pada bidadari plastik, narsistik.
Ada cinta yang tidak punya cinta, tidak punya rasa. Tawar.
Ada cinta hedon yang penuh gembira dan pesta ria.
Ada cinta talian, teknologi, teks mesej, dan tanpa haluan.

Ada cinta pada setiap sepakan penalti.
Ada cinta fantasi, terawang dan bersawang.
Ada cinta pada petikan celo, gitar, dan tiupan panflute.
Ada cinta dalam c minor, sumbang.
Ada cinta yang penuh sekarung dosa.
Ada cinta seguni penipuan.
Ada cinta yang penuh curang sedalam jurang.
Ada cinta yang berbagi.
Ada cinta terbahagi.
Ada cinta mati.

Dan ada cinta. Untuk kamu. Nikmati.

KEMASKINI dari temanteman dan pembaca. (Wah kita boleh bagi sama Sang Freud Press untuk buat buku frasa poket ni.)

1. ada cinta semanis masam air ribena! – aishah

2. Ada cinta yang sengaja diada-adakan… Pelesu tu…– Nizam.ariff

3. yang pasti, semua cinta pasti ada derita, kecuali cinta pada-Nya. – ilisyazwani

4. Untuk cinta, aku hilang dalam realiti. Terbang dalam fana. Dan kosmos pun bergegar! Goncang! Ya. Seluruhnya! – Terompahkayu

5. cinta pelangi.
bila ada hidup warna warni

bila tak ada jadi rindu dan sunyi – pisey

6. ada ‘cinta sabun mandi’. hari2 boleh nyanyi. ha ha – rahimin idris

7. ada cinta macam fake plastic tree. – rembo

8. cinta mongolia kena bom. – bainun

9. Ada cinta secawan caffien, tak dapat minum hidu aroma pun sudah menggegar jiwa. – Water Lily

10. ada cinta macam orang main polis-sentri. kena kejar, tunduk duduk. selamat. err…ada ke? aku pun tak pernah faham cinta.ImranAbdulJabar

11. Ada Alina di baris ketiga. – MARSLI N.O

12. ada cinta tanpa suara tapi penuh sandiwara.PAP

13. ada cinta macam haram tapi halal.junA

h1

Tentang Inglourious Basterds dan aku yang semakin bodoh.

November 4, 2009

Dalam parti privat Mocca minggu lepas, aku rasa Yuna sudah tidak punya ‘mojo’ lagi untuk beraksi di pentas. Nyata Tonawarna lebih buat aku teruja.

Dan aku rasa, Inglourious Basterds ini cerita terbaik Quentin buat setakat ini. Lebih-lebih lagi jika kamu menontonnya pada jam 12 tengah malam.

Dan setakat ini aku masih belum puas dalam menghasilkan karya.

Kerana terlalu banyak paksaan untuk membaca buku-buku akademik dan filsafat, aku fikir aku sudah jadi semakin bodoh pula. Hence, the phrase by Socrates,”I know that I know nothing..”

Sudah tumpul nous kreativiti dan masa pula dicuri daripada aku sedikit demi sedikit, yang buat aku gagal untuk lapangkan diri sendiri.

Dan aku tidak mahu membenarkan kata-kata mereka yang ragu kemampuan aku melukis.

Filem kedua Vovin yang ditayangkan malam Maskara Shorties pula aku rasa lebih baik daripada yang pertama.

Aku pasti, dengan praktis, suatu hari aku dapat juga hasilkan Monalisa-ku, Guernica-ku, atau mungkin juga punya To Kill a Mockingbird-ku sendiri. Seperti tindakan Lt Aldo Raine (Brad Pitt) dalam Ing.Bast. ini yang mengukir swastika pada setiap dahi mangsanya. Dan semakin sempurna pada setiap kali. Rasionalnya supaya ‘title nazi’ itu melekat sehingga mati.

Basterds!

h1

Perempuan dalam kaca dan Tuhan manusia di tebing-tebing.

Oktober 29, 2009

tebing

Kata pujangga, jika mahu lihat tamadun sesuatu bangsa, lihatlah binaan-binaan mereka.

Dan ya, itu yang aku perhati semasa di Bali. Pada setiap tugu, pada setiap kubu, dan pada setiap pura di tebing dan puncak.

Ramai yang bertanyakan tentang apa yang menariknya di sana.

Jadi aku mahu jawab.

Tentang khabar yang dibawa angin cerita perempuan dalam kaca.

Tentang Tuhan-tuhan manusia yang mendiami tebing-tebing tinggi pinggir laut.
Dan patungan yang memacak di setiap penjuru daerah.

Tentang matahari yang garang pada waktu tengah hari dan memohon keampunan penuh jingga pada sebelah senjanya.

Tentang makhluk-makhluknya yang separa sinis dan separa tidak mahu peduli.

Tentang penganutnya yang seakan memaksa untuk religus dan memohon oblivion setiap penggal hari.

Tentang makanan yang memaksa aku untuk berpuasa seketika setiap kali.

Tentang udara yang sifar kari dan berbau masam pada malamnya.

Tentang bunyi-bunyian yang mengisi vakum deria setiap jeda, setiap ruang.

Tentang para teroris yang ghaib dan bersembunyi, dan jiwa-jiwa yang mahu membunuh mereka.

Tentang mitos dan lagenda yang terpalit pada setiap wajah, setiap dinding, setiap tembok, dan setiap yang berlari.

Tentang jalan-jalan yang sempit dan intim membina tembok di kiri kanan.

Tentang gunung yang masih kukuh menunjang, tentang danau yang selaut birunya biru, dan pepohon. Dari setingginya daratan sehingga sedasarnya lautan.

Tentang ironi.

dan tentang jiwa yang mahu bebas dan bersalut dosa.

Nah, masakan mahu ketinggalan selami semua ini?

bakarjagung

h1

Melancong.lencong.

Oktober 27, 2009

papantandabali

Melancong atau kembara bersama kumpulan atau teman-teman boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan.

Atau membosankan.

Dan kesempatan ke Bali beberapa minggu yang lalu, aku alami sesi melancong dan juga kembara.

Sesi melancong selama empat hari bersama kumpulan seramai 2o orang yang aku kenal hanya sebahagian (itupun atas dasar kerja), adalah suatu sesi melancong-naik bas-melawat tempat tipikal touris-shopping-shopping-dan-shopping yang akhirnya aku ambil keputusan tinggal di bilik hotel sambil siapkan buku Meor.

Sesi kedua lima hari selepas itu aku andaikan sesi kembara dimana pengembaraan menjelajah sosial, budaya, seni, politik dan hidup masyarakat bersama Zul, Pipi, Jue dan Vovin, serta teman asalnya Bali, Termana dan Ika. Itu sesi yang sebenarnya suatu ilmu eksplorasi dan eksploitasi minda-jiwa.

Sebahagian masanya kami bermotor. Sambil menghirup udara sifar kari. Dan matahari yang sangat garang.

Itu alternatifnya tourism.

Tapi diorang ni, bab bangun pagi tu.. erm.

 

h1

Pro.to(ng)kol.

Oktober 21, 2009

Jogja 213

Aku yakin di hari perhimpunan nanti, Tuhan tidak akan memanggil nama-nama gelaran rasmi kamu.

Dan jika aku suatu hari dihukum seperti Mahsuri, aku akan sumpah daerah ini menjadi seperti Jogja.

Kota lama yang segalanya bergerak perlahan: masa dan juga makhluk-makhluknya. Tiada kerjaan di kantor kecuali hanya yang bergelar aktivis dan seniman-seniman yang hidup santai sambil mengetag ilham yang menginvasi setiap masa.

Dan tidak ada acara-acara rasmi yang penuh panggilan serinya datuk, tuannya aku, atau entah apa lagi yang tersekat di kerongkong dan menyemak kepala. Kepala otak kamu.

Lelahlah macam ini.

h1

Suka.wati

Oktober 11, 2009

singa

Bagaimana mahu membaca kata yang tidak tertulis, dan berkata hal yang tidak terucap?

Dan ketika ini, meski suasananya cukup mengeksplorasi dan mengeksploitasi visual, minda, jiwa, bahkan segalanya, namun masih rindu sekali udara yang berbau kari dan rempah.

Dan juga nasi lemak pada setiap pagi.

Bahawa setiap pengembara harus juga mengalami penjernihan jiwa. Jauh daripada hal yang normal, rutin dan biasa.

Tetapi masih juga runsing kerja-kerja luwes mengaum yang bakal menunggu untuk disula apabila pulang nanti. Aduh.

Dan tiba-tiba ada arca timbul berwajah singa berkata-kata ketika direnjis rempahan kari.

WTH?